Tuesday, October 13, 2009

“ZAKAT PELERAI MASALAH UMMAH“

Bicara kali ini saya akan membawa satu perspektif yang cukup menarik. Dari sudut pembangunan dan kemajuan zakat hari ini dalam konteks kecemerlangan ummah. Sudah menjadi amalan kita dituntut untuk memperbanyakkan amal ibadat kita kepada Allah S.W.T. Setiap sesaat itu penuh keberkatan dan kenikmatan yang wajar dihayati untuk terus tawaduk kepada Allah. Ia tidak wajar dipersia-siakan terutamanya kepada mereka yang menghargai masa dan beramal soleh. Sudah pasti kita sebagai umat Islam harus memperingati sejarah Nabi dan menunaikan amalan-amalan mulia sebagai hamba tuhan. Pada masa yang sama, umat islam hari ini diajak menghayati sepenuhnya suatu sepakat dalam riwayat,
“Ditegakkan Islam di atas lima perkara iaitu; naik saksi, tiada tuhan melainkan allah dan nabi muhammad itu pesuruh allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan ramadhan dan menunaikan haji ke baitullah bagi mereka yang berkemampuan.”

Sepanjang kehidupan yang dilalui, kita seharusnya bersungguh-sungguh, beramal dan memenuhi kelima-lima rukun Islam tersebut. Semoga ganjaran berganda-ganda diperolehi. Justeru itu, saya sekali lagi ingin mengajak para pembaca untuk sama-sama menghayati antara rukun islam yang perlu dilaksanakan dengan sebaiknya iaitu mengeluarkan zakat bersesuaian dengan tajuk bicara saya pada kali ini yang bertajuk “Zakat Pelerai Masalah Ummah”.

Islam yang diturunkan oleh Allah s.w.t. adalah untuk manusia bagi mengatur kehidupan agar mendapat “Al-Falah” di dunia dan akhirat. Segala kefardhuan dari Allah maka kebaikannya akan kembali kepada manusia. Ini juga dikaitkan dengan zakat yang merupakan suatu kewajipan harta yang diambil daripada golongan yang mampu dan memberi kepada golongan kurang mampu bagi menampung keperluan asas mereka seperti keselamatan, pendidikan, pengangkutan, makan, minum dan tempat tinggal. Zakat dikutip oleh penguasa atau pemerintah melalui petugas-petugas yang disebut dalam Al-Quran sebagai ‘amil zakat’. Mereka bertugas mengatur dan menguruskan zakat dari menyimpan, mengutip, membahagi dan menghitungnya. Baik petugas semasa di bulan Ramadhan malahan di Pusat Zakat negeri-negeri yakni suatu badan yang diberi tanggungjawab sedemikian.

Zakat dari sudut bahasa bermaksud keberkatan, kesucian dan kebaikan. Dari sudut syarak, zakat diertikan sebagai mengeluarkan sebahagian harta tertentu yang diwajibkan oleh Allah S.W.T. dengan kadar yang tertentu untuk diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya dan mengikut syarat-syaratnya yang tertentu.
“Ambillah zakat dari kekayaan mereka untuk membersihkan dan mensucikan mereka dengannya dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya, doamu mendatangkan ketenteraman bagi mereka. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at-Taubah 9: 103)

Dalam sejarah Islam, perkembangan zakat semasa di Mekah dan kemudian di Madinah juga dengan cara berperingkat-peringkat. Zakat difardhukan pada tahun 2 Hijrah. Semasa di Mekah, kefardhuan zakat adalah umum dan kadar zakat tidak ditentukan lagi tetapi terserah kepada seseorang individu itu untuk menyempurnakannya. Di Madinah pula, zakat telah diwajibkan dan disebut dalam bentuk perintah dengan tegas dan arahan perlaksanaan yang jelas. Misalnya, dalam surah AN-NUR: 56 disebut;
“dan dirikanlah oleh kamu akan sembahyang serta berikanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasulullah supaya kamu beroleh rahmat.”

Semasa pemerintahan Khalifah Al-Rasyiddin, reformasi pengurusan zakat melalui ijtihad begitu terserlah sekali. Pada awal pemerintahan Abu Bakar as-Siddiq, para sahabat berijtihad dan membuat keputusan untuk memerangi golongan murtad termasuk orang–orang yang tidak membayar zakat. Sebab itulah golongan pemerintah boleh menggunakan kuasa bagi zakat yang dibayar. Pada masa yang sama, pemerintah boleh membuat perubahan ke atas zakat dan perakaunan sehingga penalti dikenakan sekiranya si pembayar zakat sengaja menipu taksiran zakat mereka. Pemerintah juga boleh memperluaskan asas zakat dengan mengenakan zakat atas sesuatu harta yang baru ditemui atau baru wujud. Tidak hairanlah, ketika zaman Khalifah Umar Abdul Aziz, negara Islam ketika itu begitu makmur. Pelbagai cukai diharamkan dan dihapuskan tetapi tidak memberi masalah kepada perbendaharaan negara. Di sinilah kita nampak bahawa melalui duit zakat mampu membela masyarakat dan pembangunan ummah secara keseluruhannya. Rakyat menjadi selesa sehingga sukar bertemu golongan fakir dan para pengemis dan orang miskin yang meminta-minta yang berhak menerima zakat.

Itulah cantiknya Islam, zakat dipungut dari pelbagai jenis zakat kemudian dikumpulkan lalu diagihkan kepada 8 asnaf, kepada lima golongan penerima; orang fakir, miskin, muallaf, hamba ghorimin dan ibnu-sabil. golongan (institusi) yang menguruskan; para amil dan golongan berdakwah ke jalan Allah; fisabilillah. Manakala sumber selain zakat, iaitu Baitulmal dapat memperolehi dengan pelbagai cara seperti derma, cukai, kharaj, wakaf, sedekah, sumber riba, barangan dijumpai, harta rampasan perang dan sebagainya yang dapat dikumpul dan diagihkan untuk kebajikan dan keperluan asas rakyat. Sebab itu, perbendaharaan Islam bukan semata-mata dilihat dengan hasil cukai sahaja tetapi jauh lebih daripada itu agar wujud keseimbangan dalam sosio–ekonomi umat Islam di samping melindungi mereka dari lembah kehinaan.
“demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatku kepada kamu dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras” (MAKSUD SURAH IBRAHIM: 7)

Jika difikirkan zakat bukan hanya sekadar zakat fitrah semata-mata, ia merupakan satu ibadah yang wajib dikenakan ke atas harta yang lain seperti wang simpanan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), koperasi, saham, ternakan, perniagaan, pertanian, harta rikaz, emas, perak dan pelbagai sumber pendapatan dunia profesional masakini. Pada hari ini sudah pasti amalan berzakat bukan dipandang sepi dan remeh malahan penerima wang zakat hari ini dididik untuk memastikan suatu masa kelak mereka pula menjadi pembayar zakat yang beriman dan berkualiti. Dengan itu, kemajuan ummah dapat dikembangkan secara berterusan. Apa yang penting jaminan kemajuan umat Islam lebih terjamin melalui kecemerlangan pembangunan zakat itu sendiri.

Kesempatan yang ada, khatib ingin memaklumkan prestasi zakat bagi pungutan tahun 2002 untuk seluruh Negeri Selangor. Jumlah pungutan zakat fitrah tahun lepas adalah sebanyak RM7.9 juta. Bagi Zakat Harta termasuk pendapatan, perniagaan, wang simpanan, KWSP, tanaman, saham, emas dan perak, qadha zakat, ternakan, harta dan lain-lain adalah sebanyak RM70.7 juta. Zakat perak merupakan kutipan terendah iaitu sebanyak RM3,303.40. Kutipan tertinggi ialah zakat pendapatan adalah sebanyak RM29.5 juta dan jumlah terkumpul keseluruhan berjumlah RM78.7 juta.

Manakala jumlah yang berjaya diagihkan adalah sebanyak RM66.8 juta. Antara asnaf yang menerima pengagihan wang zakat terbanyak tinggi ialah golongan fisabilillah (membina dan membaikpulih masjid, surau dan sekolah agama rakyat serta skim bantuan pendidikan kepada para pelajar untuk anak-anak kita yang melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi), fakir dan miskin berjumlah lebih RM51 juta, golongan muallaf berjaya diagihkan sebanyak RM3.8 juta, asnaf ghorimin berjumlah RM1.6 juta, ibnu-sabil pula sebanyak RM0.3 juta, asnaf hamba atau riqab pula adalah sebanyak RM0.4 juta dan terakhir adalah asnaf amil adalah termasuk pihak pengurusan dan juga amil zakat fitrah ialah sebanyak RM9 juta.

Generasi Zakat
Keluarga dibina
Didikan dijana
Zakat diperkasa
Ummah dibela
Rakyat sejahtera

Oleh yang demikian, marilah kita berganding bahu bersama-sama menginsafi dan timbul kesedaran agar Allah mengerakkan hati-hati kita bersama untuk memenuhi tuntutan berzakat kepada amil yang bertauliah atau terus membayar ke pusat-pusat zakat dan kaunter-kaunter zakat yang berdekatan. Seruan ini ditujukan kepada diri saya sendiri, baik pimpinan masyarakat dan organisasi, kakitangan kerajaan, swasta, peniaga, pendidik, peneroka, penternak, petani dan pelbagai golongan lagi agar tampil membantu dalam memenuhi seruan ini bagi meningkatkan kadar kutipan zakat untuk mempastikan ketelusan agihan dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya kepada mereka yang mereka yang layak.

Kenikmatan dari menunaikan zakat sama seperti air yang memadamkan api yang sedang marak. Kesannya, terhapuslah dosa-dosa kita, terhindarlah sebarang kejahatan, hidup penuh dengan ketenangan dan semangat ukhwah sesama manusia dapat dijalinkan. Ia diumpama, “menghidupkan jiwa, mengenyangkan perut, mengeringkan air mata dan menghilangkan kesakitan.” Harapan besar, agar kita dapat menghindarkan diri dari sifat bakhil, jahat dan memutuskan hubungan silaturrahim. Maka beringatlah kita dalam sebuah hadith riwayat Abu Daud, At-Tabarani dan Al-Baihaqi, “bentengkanlah harta kamu dengan berzakat dan ubatilah pesakit-pesakit kamu dengan bersedekah serta hadapilah gelombang-gelombang bala dengan menangis dan mengadu (kepada Allah).” Kewajipan kita kepada manusia perlu dijaga dalam menyemai perasaan ‘kasih sayang’ agar zakat dapat diagihkan kepada asnaf-asnaf yang memerlukan. Ia dilihat Sebagai suatu contoh, “Takaful Jamaie’” di mana ia memberi jaminan kemasyarakatan bersama. Adalah menjadi kewajipan kita untuk menjaga kebajikan seseorang yang ditimpa kesusahan, memenuhi hajat mereka yang lemah, tidak sempurna tubuh badan dan melahirkan rasa ehsan sesama insan. Dalam konteks negara kita yang rancak membangun, manakala rakyat banyak menikmati pelbagai sumber pendapatan dan kemudahan, kita harus bersyukur atas nikmat yang diberikan oleh allah s.w.t. Oleh itu adalah wajar rasa syukur itu dizahirkan melalui kewajipan berzakat. Janji Allah kenikmatan rezeki yang tidak disangka-sangka akan pasti datang!

Akhirnya, semoga kesedaran ini dapat dilaksanakan dengan kadar segera agar dengan berzakat, diri kita dapat berubah dan lebih tawaduk kepada Allah S.W.T. (mencapai keredhaan). Ingatlah kalian, rezeki yang dimiliki adalah hak Allah secara mutlak dan sebahagiannya juga adalah hak kepada orang yang memerlukan. Kita sekadar hamba dan khalifah adalah dipertanggungjawabkan untuk menjaganya di landasan yang sebenar.

14 OGOS 2009
ZAKAT:
Ditulis pada 24 Mei 2003 sebagai nota dan ilmu bersama