Monday, November 30, 2009

Hanya Klik Skim Berkat Makin Mudah

PENGENALAN
Skim Berkat merupakan salah satu produk Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS yang diperkenalkan bagi tujuan menyediakan perkhidmatan pembayaran zakat melalui potongan gaji. Ia merupakan alternatif termudah yang ditawarkan kepada kakitangan swasta mahupun kerajaan bagi melunaskan tanggungjawab berzakat. Ia tidak terhad kepada pembayaran zakat pendapatan semata-mata malahan boleh ditunaikan juga pelbagai jenis zakat harta yang lain seperti zakat simpanan, zakat KWSP, zakat emas, zakat saham, qada zakat dan sebagainya.

TIDAK MEMBEBANKAN
Setiap pembayaran zakat layak mendapat rebat cukai pendapatan dan pembayaran zakat melalui potongan gaji bulanan boleh diselaraskan terus atau memindahkan sebahagian daripada Potongan Cukai Berjadual (PCB) anda kepada zakat - Rujuk Akta Cukai Pendapatan 1967.

CONTOH 1: PCB BAGI BULAN JANUARI 2009
Zakat dibayar: RM55
PCB patut dipotong: RM105
PCB perlu dipotong selepas itu adalah hanya RM50 sahaja (RM105 – RM55).

CONTOH 2: PCB BAGI BULAN MEI 2009
Zakat dibayar: RM140
PCB patut dipotong: RM110
PCB perlu dipotong selepas itu adalah TIADA.

KEMUDAHAN SKIM BERKAT TERBARU
Satu kemudahan untuk pembayar zakat khususnya pembayar yang berkhidmat di sektor kerajaan mahupun swasta menerusi potongan gaji. Skim Berkat: Hanya Klik ini lebih memudahkan pembayar zakat untuk mendapatkan Borang Potongan Gaji menerusi portal LZS.

TATACARA HANYA KLIK SKIM BERKAT MAKIN MUDAH
Kemudahan ini adalah untuk mendapatkan Borang Potongan Gaji yang dilakukan menerusi portal LZS; www.e-zakat.com.my/skimberkat. Pengguna hanya perlu mengisi maklumat diri dengan lengkap pada borang maya yang disediakan. Cetak borang tersebut dengan tiga salinan.

1. SALINAN PEMOHON untuk simpanan pembayar
2. SALINAN MAJIKAN untuk diserahkan kepada Bahagian Sumber Manusia atau Unit Gaji untuk tindakan pemotongan
3. SALINAN LZS (MAIS) sila fakskan ke talian 03-55227724 untuk rujukan

KEMUDAHAN LAIN
Selain kemudahan mengisi Borang Potongan Gaji (Versi Internet), kini anda juga berpeluang untuk menyemak maklumat pembayaran zakat anda yang terkini menerusi e-zakatonline. Kakitangan kerajaan, syarikat, NGO, organisasi atau individu yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Skim Potongan Gaji/Skim Berkat berpeluang untuk memuat turun buku Panduan Skim Berkat yang mengandungi pelbagai informasi lengkap tentang Skim Berkat.

Disertakan Borang Pendaftaran Majikan Baru untuk kegunaan majikan baru dan Borang Bayaran Skim Berkat yang merupakan borang untuk senarai nama kakitangan majikan. Borang Pendaftaran Majikan Baru dan Borang Bayaran Skim Berkat yang lengkap perlu dihantar oleh pihak majikan bersama-sama dengan cek bayaran atas nama Lembaga Zakat Selangor (MAIS) kepada pihak LZS. Bagi majikan atau pemohon baru, kaedah ini boleh digunapakai dan sangat digalakkan untuk memudahkan segala urusan.

Terdapat dua kategori kemudahan yang disediakan:
PANDUAN PENYERTAAN SKIM BERKAT - PEMOHON
1.1 Borang Potongan Gaji (Versi Internet)
1.2 Daftar E-Zakat Online untuk :
- Kemaskini maklumat
- Paparan rekod bayaran zakat
- Dapatkan penyata zakat

PANDUAN PENYERTAAN SKIM BERKAT - MAJIKAN
2.1 Manual Panduan Skim Berkat
2.2 Borang Pendaftaran Majikan Baru
2.3 Borang Bayaran Skim Berkat

Mudah, semuanya selesai! Mulakan bayaran zakat anda sekarang dengan melayari laman sesawang kami www.e-zakat.com.my/skimberkat

Komen:
Mulai menulis untuk Majalah Asnaf, LZS terbitan terbaru akhir bulan Disember 2009 sebagai panduan dan promosi bahawasanya pembayaran zakat kini makin mudah