Friday, December 25, 2009

FORUM PERDANA DAN KAUNTER ZAKAT DALAM KILANG PROTON


Lembaga Zakat Selangor (LZS) menampilkan wadah dakwah berbeza dengan menganjurkan Program Sehari Bersama LZS di Proton Berhad.

Program yang merupakan kerjasama antara LZS dengan AJK Badan Pembangunan Modal Insan, Proton diadakan bagi meningkatkan kefahaman dan menyebarluaskan dakwah zakat di kalangan warga kerja Proton khususnya pembayaran zakat melalui potongan gaji (Skim Berkat).

Dalam program tersebut, delegasi LZS seramai 15 orang ini turut membuka kaunter khidmat pelanggan LZS. Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah kaunter penerangan zakat, kaunter agihan, pameran dan tayangan multimedia aktiviti korporat LZS. Sambutan kakitangan sangat memberangsangkan dan memberi kesan positif kepada mereka yang turut bersama menjayakannya.

Turut diadakan Solat Hajat Perdana yang melibatkan kira-kira 2,000 kakitangan Proton dan seterusnya Forum Perdana Hal Ehwal Islam bersempena Israk Mikraj. Forum yang bertajuk Israk Mikraj Menjana Peningkatan Mutu Kerja menampilkan Ustaz Mohd. Faryzan Subkhi (LZS) selaku Moderator, Ustaz Hamizul Abdul Hamid (LZS) dan Ustaz Zulkifli Ahmad (Penceramah di Selangor.fm) selaku ahli panel.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Bhd, Dato' Haji Syed Zainal Abidin Bin Syed Mohamad Tahir.

No comments:

Post a Comment